Ahad, 28 Februari 2010

Pendidikan terbaik buat anak-anak




Sebagai ibu bapa, kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak kita. Kita mahukan yang terbaik dalam perkembangan awal anak-anak kecil kita dalam bidang pendidikan. Kita mahukan pemakanan yang terbaik juga nutrien yang sihat untuk mereka. Ada daripada ibu bapa yang mahukan anak-anaknya menjadi hebat, sehebat anak-anak di negara barat, maka diajarkan minat-minat dalam bidang-bidang yang pelbagai seperti piano, balet, dan sebagainya.

Namun, satu persoalan yang perlu kita semua fikirkan, adakah usaha kita untuk memberikan kebaikan kepada anak-anak kita ini berasaskan trend dan perkembangan masa kini ataupun berasaskan syara` dan agama? Ianya suatu persoalan yang mudah untuk dijawab oleh sesiapa sahaja, lihat sahaja kepada stail dan cara kita membesarkan anak-anak, atau kepada apa yang kita sediakan untuk anak-anak kita.

Yang manakah lebih esensi untuk disediakan buat anak-anak, mengajar siapa Allah atau bagaimana untuk menyanyi? Sekali lagi, ia soalan yang mudah. Kita bukan mempersoalkan samada ianya dibenarkan syarak atau tidak, (kita letak dahulu isu tersebut ke tepi ), adakah itu yang asasi dan esensi?

Sabda Nabi S.A.W “Awal agama ialah makrifatullah” maka apakah ilmu-ilmu muzika, dan perkara-perkara lainnya membawa kepada maksud tersebut?

Ramai daripada ibu bapa hari ini memilih untuk mendidik hal-hal yang remeh kepada anak-anak, bukannya perkara yang esensi. Ada yang beranggapan bahawa anak-anak terlalu muda dan kecil untuk mengenali Allah dan diajarkan tentang Rabb dan Ilahnya. Mereka tidak akan mampu mengerti. Namun, ia adalah satu persepsi yang salah, kerana kajian menunjukkan resepsi otak bayi lebih mudah menyerap dan memahami sesuatu yang diajarkan kepada mereka berbanding ketika mereka semakin menginjak dewasa.

Persepsi masyarakat kita lagi ialah apabila menyebut tentang pendidikan Islam, maka apa yang terdampak dek akal ialah satu pendidikan yang formal dan berat. Walhal Islam itu ialah satu deen yang mudah dan tidak memberatkan. Pendidikan awal anak-anak tentang Islam ini perlu menjadi sesuatu yang dijadikan kebiasaan, yakni anak-anak dibiasakan hidup dengan Islam. Ibu dan ayah boleh biasakan membacakan doa untuk anak-anak ketika bersin, ketika hendak makan, mandi, dan sebagainya. Apabila ibu bapa cuba untuk mengajarkan anak-anak tentang alam dan keindahannya, tiada masalah kalau hendak disebut Allah sebagai penciptanya. Kebiasaan akan menjadi suatu tabiat.

Ambil satu analogi yang merupakan realiti. Macam mana seseorang boleh dengan mudahnya menghafal sesuatu lagu? Caranya mudah, jadikan mendengar lagu tersebut sebagai kebiasaan, untuk kuatkan lagi ingatan, kita berikan panduan dalam bentuk lirik. Ulanglah dalam tiga ke lima kali, kita akan boleh menghafal lagu tersebut dengan mudah, betul?

Begitulah juga dengan Islam yang kita anuti ini, apabila kita menjadikan Islam suatu kebiasaan, maka Islam menjadi sesuatu yang mudah bagi kita.

Memetik pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ sepatutnya mencubit kita sedar daripada lamunan bahawa usia anak-anak di pucuk rebungnya adalah tempoh singkat yang amat kritikal untuk membina asas iman yang mantap. Sepertimana kita mahu membina sebuah menara, tanpa asas yang kuat dan kukuh maka ia akan roboh dengan mudahnya. Apabila anak-anak didedahkan dengan realiti kehidupan Islam, maka ia tidak akan memberikan satu kejutan sepertimana anak-anak yang terdidik dengan corak pemikiran bebas terkejut apabila mendapati Islam yang diamalkan tidak seperti yang dia sangkakan, kerana ibu dan ayahnya tidak pernah mengajar atau mendidiknya tentang Islam.

Saya kongsikan pengalaman saya berhadapan dengan dua situasi melibatkan anak-anak masa kini.

1. Saya ingin pulang dari Shah Alam ke KL, selepas membeli tiket saya mendapatkan tempat duduk berdekatan dengan platform, ada seorang budak remaja lewat belasan tahun tiba-tiba membuat panggilan dan antara dialog yang terkeluar; ‘alah, rilekslah, kita bukan terlanjur pun’.

2. Sekali lagi saya menaiki tren komuter menuju ke Stesen Batu Tiga. Seorang pemuda sedang memangku anak buahnya yang berusia tiga ke empat tahun sambil memasang lagu di telefon bimbitnya dengan agak kuat. Kita amat pasti apa jenis lagu yang didengarinya, namun lebih memeranjatkan kanak-kanak tadi menghafal lagu tersebut.

Melihatkan keletah dan fenomena yang melanda anak-anak kita, baik samada mereka kanak-kanak ataupun remaja, memberikan kebimbangan yang agak merunsingkan kerana kita melihat mereka ini sebagai harapan agama, bangsa dan negara, malah akan mengganti pemimpin hari ini suatu hari kelak. Tetapi adakah kita mahukan pemimpin yang buruk akhlaknya, lemah kepimpinannya, daif pemikirannya, dan hanya tahu berhibur? Kita lebih rela masa depan anak-anak kita hancur musnah untuk satu jangka masa 10-20 tahun dari sekarang, daripada memberikan didikan yang fardhu yang mana boleh dan mampu menyelamatkan mereka daripada kehancuran, bukan sahaja di dunia malah akhirat.

Masih belum terlambat untuk kita mengubah corak dan stail pendidikan anak-anak kita. Ada bermacam rujukan dan panduan dalam Islam yang boleh kita jadikan alternatif kepada apa yang kita lakukan. Tidak bermakna kita mendidik anak-anak dengan Islam, maka kita meninggalkan bahagian untuk dirinya maju di dunia. Allah SWT, bahkan memberi saranan yang amat positif dalam al-Quran;

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi” [QS:28:77]

Oleh: Mohd Azmir bin Mohd Razli,
ISMA Shah Alam-Klang

0 ulasan: