Khamis, 30 Disember 2010

Durrani's Collection

Alhamdulillah hampir enam bulan kedai tudung kami beroperasi... dalam masa tersebut terlalu banyak cabaran dan rintangan dilalui.. yang paling mencabar adalah dari segi pengurusan masa bersama family, kerjaya dan bisnes.. tapi Allah sudah mengingatkan kita orang yang berusaha insyaAllah akan memperolehi hasil sesuai dengan apa yang diusahakannya.. hopefully perniagaan ini berkembang maju dan bolehlah membantu sesama muslim dalam pemberian zakat perniagaan juga membantu keluarga khususnya.
Sebenarnya banyak idea2 bisnes lain yg muncul dibenak tapi cabaran untuk melaksanakannya dengan anak dan rumahtangga.. aku doa sangat segalanya dipermudahkan dan usaha2 yang aku jalankan ini membawa aku lebih mendekatiNya..

Sabtu, 8 Mei 2010


Dari Abu Hurairah R.A:

Datang seorang menemui Rasulullah S.A.W dia bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling layak untuk bergaul dengan paling baiknya?” “Ibumu” Baginda S.A.W menjawab, “Kemudian siapa?”, “Ibumu”, “Kemudian setelahnya siapa?”, “Ibumu”. Untuk kali berikutnya orang itu bertanya lagi, “Kemudian siapa?” “Ayahmu” jawab Baginda Rasulullah S.A.W.


Berbuat baiklah dengan kedua ibu bapa kita sewaktu hayat mereka kerana keredhaan Allah datang selepas kerdhaan kedua ibubapanya!

SELAMAT HARI IB MAK N MAK MERTUA KU.. MOGA DOA N RESTU SENTIASA MENGIRINGI KAMI

Isnin, 5 April 2010

Bagaimana menjadi Murobbi yang hebat?

Murobbi satu istilah yang sudah sinonim bagi gerakan dakwah dan tarbiyyah. Murobbi merupakan tulang punggung utama bagi menggerakkan organisasi dakwah. Tanpa murobbi jamaah atau harakah tidak akan dapat meneruskan hayat jamaah tersebut. Ini kerana peranan murobbi ialah melahirkan generasi baru dakwah yang akan meneruskan kesinambungan amal dakwah dan tarbiyah tersebut.

Lantaran itu satu persoalan yang timbul, bagaimana ingin menjadi seorang murobbi. Adakah murobbi itu suatu yang natural, atau perlu kepada proses? Proses membikinkan diri menjadi seorang murobbi. Ya, memang kerja melahirkan murobbi ini sukar dan payah. Rasulullah SAW adalah sosok murobbi agung dan ideal. Pada diri baginda SAW adalah contoh terbaik buat kita semua. Tidak semua orang dilahirkan untuk menjadi murobbi tetapi perlu kita berusaha memurobbikan diri kita. Bak kata Syeikh Abdullah al-Ahdal “La budda lil akh muslim an yakuuna murobbiyan..” ( Tidak dapat tidak setiap akh mesti menjadi seorang murobbi).

Untuk menjadi murobbi yang hebat, kita memerlukan pelatihan dan perkaderan. Sikap untuk belajar melaksanakan (attalaqqi li tanfiz) harus menjiwai diri kita. Tanpanya usaha menjadi seorang murobbi tidak akan terhasil. Cubaan demi cubaan menghasilkan pengalaman. Pengalaman demi pengalaman akan mendewasakan kita untuk menjadi seorang murobbi. Yang penting ialah sikap untuk terus belajar harus sentiasa membara di benak fikiran dan di lubuk jiwa kita. Tarbiyah madal hayat itulah slogan kita. Tanpa jemu dan lesu kita terus membangunkan potensi diri menjadi seorang murobbi.

Tidak kurang juga kita harus menggali sejarah manusia-manusia agung dan hebat. Sejarah para murobbi. Menyelusuri jejak kehidupan mereka akan menjadikan kita mampu mencetak karektor mereka untuk kita menjadi seorang murobbi. Kita juga harus memperkayakan ilmu dan skil dengan berterusan membaca buku-buku yang dapat meningkatkan kompetensi diri kita sebagai seorang murobbi di samping kita mengambil qudwah dari masyayeikh dakwah kita. Berjaulah ke rumah-rumah mereka, timbalah pengalaman mereka dan adaptasilah ilmu dan kemahiran mereka. Murobbi bak kata al-Banna ibarat bapa, guru, syeikh dan pemimpin. Itulah sifat yang perlu ada pada kita semua.

Saya sempat membaca tajuk awal tulisan John C. Maxwell di dalam bukunya 21 Kunci Pemimpin Efektif (The 21 Indispensable Qualities of A Leader). Beliau menggariskan kunci pertama untuk menjadi pemimpin yang efektif ialah karakter. Saya cuba mengdaptasikannya dalam konteks untuk menjadi murobbi yang efektif. Jadi untuk menjadi murobbi yang efektif ialah karakter. Karakter atau watak seseorang akan menjadi penanda menjadi murobbi yang efektif. Kemampuan seorang murobbi itu menangani krisis dan situasi yang timbul itulah yang menunjukkan karakter murobbi iti. Masalah atau krisis tidak membina karakter tetapi mampu menonjolkan karakternya.

Katanya lagi karakter itu ialah:

Karakter bukan sekadar cakap kosong. Semua orang boleh bercakap tetapi perbuatannya adalah ujian sebenar karektor seseorang. Karakter inilah akan menentukan prinsip, cara berfikir dan cara murobbi itu menangani sesuatu itu. Jadi karakter tidak dapat dipisahkan dari tingkah laku.
Bakat sudah ditentukan Allah tetapi karakter adalah pilihan sendiri.Kita tidak dapat mengawal banyak perkara dalam hidup tetapi kita dapat memilih karakter sendiri. Kita sebenarnya yang mendefinasikan karakter kita sendiri sama ada untuk berjuang atau putus asa. Untuk menjadi murobbi atau tidak. Dengan setiap pilihan kita telah membangunkan karakter diri kita.
Karakter menyebabkan kejayaan bersama orang lain. Mentarbiyah adalah proses yang melibatkan orang lain. Proses mempengaruhi dan merubah mutarobbi. Ingatlah orang tidak akan percaya pada murobbi yang mempunyai karakter yang tidak baik dan mereka tidak mungkin mahu mengikutinya. Jika kita mengkarakterkan diri kita sebagai murobbi maka memudahkan orang untuk mengikuti kita.
Murobbi akan dihadkan oleh karakternya. Untuk menjayakan agenda dakwah dan tarbiyyah kita memerlukan karakter yang kuat. Murobbi yang memiliki karakter yang kuat akan terus bertahan dan mampu mengharungi apa jua keadaan dan mencipta kejayaan demi kejayaan. Sebaliknya jika murobbi itu sudah kering dan terbantut pembangunan karakternya maka tempoh kejayaannya adalah terhad.
Jadi, wahai para murobbi! Marilah kita kita bangunkan potensi diri kita, kita bina karakter sebagai seorang murobbi. Cuba kita ikuti langkah-langkah berikut untuk mengukuhkan karakter kita:

Cari kelemahan dalam karakter kita.
Cari corak kelemahan yang ada pada karakter kita.
Hadapi kelemahan yang ada pada karakter kita. Akui dan baikilah kelemahan tersebut.
Buat perancangan agar anda tidak lagi mengulangi kesilapan anda.
Selamat mendahsyatkan diri anda menjadi seorang murobbi. Teruskan meningkatkan pembelajaran anda.
di petik dr isma web

Isnin, 1 Mac 2010

Pengasuh


Hari ni hantar Zubair ke pengasuh. Hantar awal supaya dia boleh biasakan diri kat umah org. Ikut-ikut sedih la jugak tp ini adalah kehidupan yg perlu diteruskan. Kena kuatkan semangat. InsyaAllah dia ok kat situ. Nama pengasuh tu Liza sebaya je ngan aku tapi mungkin dia kawin awal tengok dia berpengalaman jer mengasuh budak ni. Cekap orangnya. Moga anak umi soleh yer duk kat umah orang.

Ahad, 28 Februari 2010

Pendidikan terbaik buat anak-anak




Sebagai ibu bapa, kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak kita. Kita mahukan yang terbaik dalam perkembangan awal anak-anak kecil kita dalam bidang pendidikan. Kita mahukan pemakanan yang terbaik juga nutrien yang sihat untuk mereka. Ada daripada ibu bapa yang mahukan anak-anaknya menjadi hebat, sehebat anak-anak di negara barat, maka diajarkan minat-minat dalam bidang-bidang yang pelbagai seperti piano, balet, dan sebagainya.

Namun, satu persoalan yang perlu kita semua fikirkan, adakah usaha kita untuk memberikan kebaikan kepada anak-anak kita ini berasaskan trend dan perkembangan masa kini ataupun berasaskan syara` dan agama? Ianya suatu persoalan yang mudah untuk dijawab oleh sesiapa sahaja, lihat sahaja kepada stail dan cara kita membesarkan anak-anak, atau kepada apa yang kita sediakan untuk anak-anak kita.

Yang manakah lebih esensi untuk disediakan buat anak-anak, mengajar siapa Allah atau bagaimana untuk menyanyi? Sekali lagi, ia soalan yang mudah. Kita bukan mempersoalkan samada ianya dibenarkan syarak atau tidak, (kita letak dahulu isu tersebut ke tepi ), adakah itu yang asasi dan esensi?

Sabda Nabi S.A.W “Awal agama ialah makrifatullah” maka apakah ilmu-ilmu muzika, dan perkara-perkara lainnya membawa kepada maksud tersebut?

Ramai daripada ibu bapa hari ini memilih untuk mendidik hal-hal yang remeh kepada anak-anak, bukannya perkara yang esensi. Ada yang beranggapan bahawa anak-anak terlalu muda dan kecil untuk mengenali Allah dan diajarkan tentang Rabb dan Ilahnya. Mereka tidak akan mampu mengerti. Namun, ia adalah satu persepsi yang salah, kerana kajian menunjukkan resepsi otak bayi lebih mudah menyerap dan memahami sesuatu yang diajarkan kepada mereka berbanding ketika mereka semakin menginjak dewasa.

Persepsi masyarakat kita lagi ialah apabila menyebut tentang pendidikan Islam, maka apa yang terdampak dek akal ialah satu pendidikan yang formal dan berat. Walhal Islam itu ialah satu deen yang mudah dan tidak memberatkan. Pendidikan awal anak-anak tentang Islam ini perlu menjadi sesuatu yang dijadikan kebiasaan, yakni anak-anak dibiasakan hidup dengan Islam. Ibu dan ayah boleh biasakan membacakan doa untuk anak-anak ketika bersin, ketika hendak makan, mandi, dan sebagainya. Apabila ibu bapa cuba untuk mengajarkan anak-anak tentang alam dan keindahannya, tiada masalah kalau hendak disebut Allah sebagai penciptanya. Kebiasaan akan menjadi suatu tabiat.

Ambil satu analogi yang merupakan realiti. Macam mana seseorang boleh dengan mudahnya menghafal sesuatu lagu? Caranya mudah, jadikan mendengar lagu tersebut sebagai kebiasaan, untuk kuatkan lagi ingatan, kita berikan panduan dalam bentuk lirik. Ulanglah dalam tiga ke lima kali, kita akan boleh menghafal lagu tersebut dengan mudah, betul?

Begitulah juga dengan Islam yang kita anuti ini, apabila kita menjadikan Islam suatu kebiasaan, maka Islam menjadi sesuatu yang mudah bagi kita.

Memetik pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ sepatutnya mencubit kita sedar daripada lamunan bahawa usia anak-anak di pucuk rebungnya adalah tempoh singkat yang amat kritikal untuk membina asas iman yang mantap. Sepertimana kita mahu membina sebuah menara, tanpa asas yang kuat dan kukuh maka ia akan roboh dengan mudahnya. Apabila anak-anak didedahkan dengan realiti kehidupan Islam, maka ia tidak akan memberikan satu kejutan sepertimana anak-anak yang terdidik dengan corak pemikiran bebas terkejut apabila mendapati Islam yang diamalkan tidak seperti yang dia sangkakan, kerana ibu dan ayahnya tidak pernah mengajar atau mendidiknya tentang Islam.

Saya kongsikan pengalaman saya berhadapan dengan dua situasi melibatkan anak-anak masa kini.

1. Saya ingin pulang dari Shah Alam ke KL, selepas membeli tiket saya mendapatkan tempat duduk berdekatan dengan platform, ada seorang budak remaja lewat belasan tahun tiba-tiba membuat panggilan dan antara dialog yang terkeluar; ‘alah, rilekslah, kita bukan terlanjur pun’.

2. Sekali lagi saya menaiki tren komuter menuju ke Stesen Batu Tiga. Seorang pemuda sedang memangku anak buahnya yang berusia tiga ke empat tahun sambil memasang lagu di telefon bimbitnya dengan agak kuat. Kita amat pasti apa jenis lagu yang didengarinya, namun lebih memeranjatkan kanak-kanak tadi menghafal lagu tersebut.

Melihatkan keletah dan fenomena yang melanda anak-anak kita, baik samada mereka kanak-kanak ataupun remaja, memberikan kebimbangan yang agak merunsingkan kerana kita melihat mereka ini sebagai harapan agama, bangsa dan negara, malah akan mengganti pemimpin hari ini suatu hari kelak. Tetapi adakah kita mahukan pemimpin yang buruk akhlaknya, lemah kepimpinannya, daif pemikirannya, dan hanya tahu berhibur? Kita lebih rela masa depan anak-anak kita hancur musnah untuk satu jangka masa 10-20 tahun dari sekarang, daripada memberikan didikan yang fardhu yang mana boleh dan mampu menyelamatkan mereka daripada kehancuran, bukan sahaja di dunia malah akhirat.

Masih belum terlambat untuk kita mengubah corak dan stail pendidikan anak-anak kita. Ada bermacam rujukan dan panduan dalam Islam yang boleh kita jadikan alternatif kepada apa yang kita lakukan. Tidak bermakna kita mendidik anak-anak dengan Islam, maka kita meninggalkan bahagian untuk dirinya maju di dunia. Allah SWT, bahkan memberi saranan yang amat positif dalam al-Quran;

“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi” [QS:28:77]

Oleh: Mohd Azmir bin Mohd Razli,
ISMA Shah Alam-Klang

Sabtu, 27 Februari 2010

Perjanjian di waktu pagi – Imam Al-Ghazali

Aku ini tidak memiliki dagangan apa pun selain umur yang tertinggal ini, mungkin masih agak lama atau hanya tinggal sedikit. Modalku iaitu usiaku tadi telah habis, maka habislah segala-galanya yang aku pergunakan untuk berdagang tadi.

Demikianlah perumpamaan diri, jiwa dan hatiku semasa masih di alam dunia ini. Apabila itu sudah terjadi, maka terputuslah aku dalam hal melakukan dan memperkembangkan perdagangan ini dan dalam hal mencari keuntungan. Aku tetap menganggap bahawa hari ini adalah hari baru bagiku, dan Allah Taala telah menangguhkan kematianku. Kematianku masih diperpanjangkan sekadarnya, juga kenikmatanNya telah dilimpahkan padaku. Kalau ditakdirkan aku mati, pasti aku mengharapkan agar Allah mengembalikan aku ke alam dunia, walaupun hanya sehari sahaja dan di dunia ini aku akan beramal soleh.



Kerana itu hai jiwa, anggaplah dirimu itu sudah meninggal dunia, kemudian kau telah dikembalikan oleh Allah ke dunia. Jadi tidak patutlah kalau kau menambah perkara-perkara yang berdosa yang dimurkai oleh Allah. Mulai saat ini janganlah kau sia-siakan kasih sayang Allah itu, maka janganlah disia-siakan hari yang berupa tambahan rahmatNya. Bersegeralah melakukan amal soleh yang diredhaiNya. Ingatlah wahai jiwa yang miskin! Sesungguhnya setiap hembusan yang kau keluarkan melalui hidungmu itu sebenarnya adalah suatu permata yang tidak dapat dibandingkan harga serta nilainya sebab amat tinggi harganya.

Hai jiwa! Jangan kau sampai tersesat jalan, dan ingatlah bahawasanya sehari semalam itu ada 24 jam. Oleh kerananya pada hari ini wajiblah kau giat dalam beramal soleh yang dapat dipergunakan sebagai simpanan. Jadi makmurkanlah isi almari tabungmu untuk pergi ke alam akhirat, jangan kau tinggalkan kosong melompong tanpa sesuatu apa pun di dalamnya, sebab semuanya itu akan menjadi milikmu yang akan menyelamatkan dirimu dari azab Allah Taala yang pedih dan amat menyakitkan.

Hai jiwa! Janganlah kau condong pada kesukaanmu yang salah seperti bermalas-malasan mengerjakan amal soleh tadi, membiarkan waktu senggangmu hanya untuk bermain-main yang tidak ada manfaatnya sedikitpun, juga kegemaranmu selalu beristirehat dan sentiasa bersantai, sebab bila itu yang kau kerjakan, maka kau akan terlambat untuk meraih darjat, atau tingkat yang dapat dicapai oleh golongan orang yang dapat menempati tempat Illiyyin, yakni kedudukan yang tertinggi dalam alam akhirat nanti.

Ini hanya dapat diduduki oleh orang yang giat dan suka beramal, sedang kau dengan kemalasan dan kelengahanmu tadi akan menyesal untuk selama-lamanya. Waktu itu merubahnya tidak mungkin ada, sebab semua pintu telah tertutup rapat. Perhatikanlah semua nasihat di atas itu, agar kau hidup selamat dan berbahagia serta memperoleh ampunan dan keredaan Allah Subhanahu Wa Taala.

Sumber: Laman Web ISMA Eropah

Salam Mauludirrasul


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Khamis, 25 Februari 2010

Mutiara Montessori






Aktiviti Uwais sepanjang 2009 di Mutiara Montessori. Bagus tadika nih tp aku tak mampu pula nak hantar tahun ni.Hantar KEMAS je la. I.Allah tahun depan PASTI pulak. Bagi dia rasa semer.

Rabu, 24 Februari 2010

Kelahiran


Zubair Durrani pengikat kasih umi abah dan tanda kebesaran yang mencipta

Tanggal 1 Januari yang lalu lahirlah seorang lagi permata dalam hidup kami sekeluarga. Menjalani pembedahan selama 2 jam amat menggetarkan jiwa. Kuserahkan jiwa dan raga pada yg mencipta dan redha atas ketetapanNya. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dan mudah. Bila terdengar sahaja tangisan bayiku air mata bergenang tanda syukur yang tidak terhingga. Semoga kehadiranmu menambahkan lagi ketaatan kami sekeluarga pada yang Maha Kuasa. Sebagai tanda kasih yang tak ternilai pada sebuah kelahiran maka kami namakannya Zubair Durrani yang bermaksud pintar permataku. Wahai anak jadilah engkau anak yang soleh pembela agama dan penolong umi abah di sana nanti... Subhanallah walhamdulillah wallahhuakbar..

Selasa, 23 Februari 2010

Bukit Lang, Perak


Pemandangan seberang dari atas bot...


Menaiki bot

Seronok tinggal di perak ni sebenarnya, banyak tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi sekitar kawasan rumah jer. tak perlu berjalan jauh kita dah mampu mendamaikan jiwa dan menghiburkan hati anak yang sentiasa ditinggalkan. Destinasi kali ni tak kurang menariknya iaitu Bukit Lang, terletak di tengah bandar Ipoh, tak sangka sebenarnya dalam kepesatan bandaraya Ipoh ada satu tempat yang menyejukkan mata memandang.
Untuk ke seberang sana kita perlu menaiki bot dengan tambang semurah RM 3. Tak sampai 5 min menaiki bot kita dah pun sampai ke seberang yang mempunyai kemudahan Taman permainan, tempat berehat, dewan kecil dan beberapa rumah papan serta menara yang membolehkan kita melihat sekitar kawasan Ipoh. Kebetulan hari kami datang angin kuat dan gerimis sempat la melayan Uwais sekejap bermain di taman. Lepas tu, kami berehat di rumah papan yang disediakan.
Puas bergambar dan menikmati alam ciptaan Ilahi kami menunggu bot untuk pulang. Hem.. macam biasa Uwais tak puas menaiki bot.. nak naik lagi katanya. Seusai solat Zohor kami pun ke rumah saudara di Bercham. InsyaAllah ada masa datang lagi naik bot dan bagi ikan makan kat tasik.

Lost World of Tambun Perak

Bersama staf ILKSI bercuti di Lost World of Tambun Perak. satu percutian yang amat menyeronokkan. Inilah kali pertama Uwais tak takut air. Tapi bila ombak pantai buatan di pasang kecut dia. Tak nak main dekat gigi pantai lagi. Jadi, dia main dekat air cetek aje la. Aku masa nih dah post date bersalin dah tak larat nak melayan karenah dia, abahnya la jadi mangsa. Aku hanya memerhati sahaja. Kepenatan hilang melihat keseronokkan Uwais. Sampai hari ni dia masih menyebut-nyebut untuk ke Lost World.. Sabar ye sayang ada rezki kita pergi lagi dengan adik Zubair.


Uwais mnyertai pertandingan kutip gula-gula

Seronok berendam

My hubby sedang tarik tali.. menang!

My hubby menyampaikan hadiah kepada pemenang cilik

"Bila nih boleh main air ni.. sabar la.. nant kita main ye"

Isnin, 22 Februari 2010

Tip Keluarga Bahagia


Resipi perkahwinan bahagia
TERDAPAT banyak rahsia atau resipi untuk perkahwinan yang bahagia. Bagaimanapun di bawah dikongsikan tujuh saranan yang boleh diamalkan anda dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Cadangan ini memang ringkas dan boleh dibuat seberapa segera oleh mana-mana pasangan suami isteri.

1. Jika anda mahukan perkahwinan yang telah dibina bertahun-tahun kekal segar-bugar seperti hari pertama berkahwin, anda perlulah berusaha untuknya. Caranya ialah dengan meletakkan perkahwinan itu pada tempat utama. Berikan perhatian padanya dan selalu memperuntukkan masa untuk setiap perkara yang berkaitan rumah tangga. Tidak kiralah apa yang anda selalu katakan tentang rumah tangga anda yang penting sekali ialah bagaimana cara anda menanganinya.

Tip: Buat penilaian sejauh mana anda telah memberi komitmen terhadap perkahwinan anda. Adakah anda telah meluangkan masa dan tenaga yang sepatutnya demi keharmonian rumah tangga anda?

2. Fokuskan tentang perkara yang disukai tentang pasangan anda dan abaikan apa jua perkara yang tidak berkenan tentang dia. Jika berjaya melakukan ini maka anda telah mengelakkan banyak perkara negatif yang mungkin berlaku seperti adanya hubungan sulit, perselisihan faham antara suami isteri dan yang paling penting dapat mengelakkan penceraian. Jadi fokuskan yang positif dan buang tanggapan negatif jauh-jauh.

Tip: Jangan asyik mengkritik dan mencari kelemahan pasangan. Walaupun perkara tersebut terdetik jangan biarkan ia bersarang di hati. Bila anda mula memikirkan perkara baik tentang pasangan, ia sekali gus merangsang rumah tangga menjadi lebih bahagia.

3. Sifat baik hati amat penting dalam sesebuah rumah tangga. Maka, jadilah seorang yang baik. Menerusi kajian yang dilakukan kebanyakan suami atau isteri akan lebih melayan orang luar berbanding layanan terhadap ahli keluarga sendiri. Jika anda diberi pilihan untuk menjadi 'yang benar' atau 'yang baik' maka pilihlah untuk menjadi yang baik. Itu memang satu nasihat yang bagus.

Tip: Dalam minggu ini cuba buat sesuatu yang menggembirakan hati pasangan anda. Buat kejutan seperti belikan hadiah atau menyediakan makan malam istimewa. Pastikan hati anda ikhlas ketika melakukannya dan jangan pula harapkan balasan.

4. Bila pasangan membantu anda dalam sesuatu perkara walaupun nilainya tidak seberapa, berilah dia penghargaan. Cukup sekadar mengucapkan terima kasih atas bantuan tersebut yang telah meringankan beban anda. Jadikan sikap itu satu amalan dan jika ia sudah sebati dengan diri anda pasti rumah tangga akan dipenuhi keceriaan dan kegembiraan.

Tip: Lihat balik betapa pasangan anda itu bermakna dalam hidup anda. Cuba renung sesekali ke dalam mata mereka dan senyum. Anda boleh bermula dengan ayat-ayat penghargaan yang amat ringkas seperti 'saya suka senyuman awak' atau 'terima kasih atas hidangan makan malam yang lazat malam tadi.'

5. Jika anda berhajat tentang sesuatu perkara jangan pendam dalam hati dan harapkan pasangan anda dapat 'membaca' isi hati anda. Jika perkara dimahukan tidak terjadi tentu anda berang, beritahu pasangan apa yang anda mahukan dengan cara berhemah dan jelas, Komunikasi yang baik memudahkan hubungan anda berjalan lancar. Jadi bercakaplah dan jangan harap pasangan anda boleh menjadi 'ahli nujum' pula.

Tip: Selalunya anda harapkan pasangan anda memahami apa hajat anda tanpa perlu mengatakannya? Tidak kira lelaki atau wanita masing-masing mengharapkan pasangan berlaku romantis dan mengidamkan masa berdua-duaan. Tidak kurang juga yang mengharapkan pasangan membantu dalam urusan kerja rumah. Senang saja, cakaplah pada pasangan apa yang anda mahukan.

6. Buang sifat suka menghukum atau mempertahankan diri secara perlahan-lahan. Lapangkan hati menerima pendapat pasangan anda dan itu tidak bermakna anda tidak mempunyai pendirian sendiri. Tidak bermakna juga jika anda tidak menyangkal maka anda salah sebab dalam hubungan suami isteri ini memang perlu selalu bertolak ansur terutama untuk mengekalkan kasih sayang antara satu sama lain. Tidak rugi mengalah kerana dialah insan yang anda mahukan berada di sisi anda seumur hidup bukan?

Tip: Pilih satu sifat pasangan anda yang selalu membuatkan anda marah. Bila anda dan pasangan berdebat tentang perkara tersebut cuba dengar sahaja dan jangan berfikir tentangnya walaupun dalam hati. Cuba tengok apa hasilnya?

7. Buka hati anda seikhlas-ikhlasnya untuk pasangan anda. Kebanyakan daripada kita yang telah bertahun-tahun berumah tangga masih membatasi kasih sayang sepenuhnya buat pasangan. Jika anda mahukan rumah tangga yang harmoni dan sentiasa bersemarak bahagia, cubalah ambil risiko tersebut dan jangan fikirkan tentang perkara negatif.

Tip: Buangkan sifat buruk sangka. Memang konflik sesekali akan tercetus tapi jika anda pandai mengawal diri dan yakin pasangan anda juga patut diberi peluang maka runtuhkanlah tembok keegoaan itu. Pasti rumah tangga anda akan kekal harmoni hingga ke akhir hayat.

sumber utusan