Isnin, 23 Jun 2008

Hebat (dipetik dari blog Prof Kamil-abg Ena)


Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang keluar dari rumahnya kerana kesombongan dan ingin dilihat orang serta menghalangi (orang) dari jalan Allah, dan Allah itu mengepung apa yang mereka kerjakan [Surah Al Anfaal, ayat 47].
Saya sangat-sangat berbangga dengan staf akademik yang muda-muda tetapi berjaya menjadi insan yang hebat. Hasil kerja kuat, dalam masa yang singkat mereka berupaya menjadi penyelidik, penulis dan tenaga pengajar yang mampu menaikkan nama universiti.
Kehebatan diri tidak bermakna perlu hadir bersama dengan perasaan sombong, angkuh dan riyak. Lebih tinggi ke atas lebih kerap kita perlu melihat ke bawah. Perasaan hebat pada diri sendiri sebenarnya akan membawa kecelakaan. Mungkin tidak sekarang tetapi - percayalah - ia akan tiba jua.
Bertahun-tahun menjadi pentadbir akademik, saya menyaksikan bagaimana mereka yang kelihatan hebat enggan mengikut peraturan universiti, berasa diri disayangi dan mahu diberi keistimewaan melampau akhirnya tewas dengan perasaan sendiri.
Mereka tidak akan ke mana akhirnya. Dan pasti - pada satu ketika - akan menemui jalan mati. Sekurang-kurangnya hati sentiasa resah dan sepi!
Lalu, saya fikir perasaan menyombong diri tidak akan membawa faedah. Lebih baik mengikut resmi padi, lebih berisi, lebih tunduk. Hormat orang tidak boleh dipaksa. Ia datang di atas kerendahan hati dan perasaan. Mereka yang ikhlas akan terserlah di wajah atau melalui tindakan mereka. Samada dalam diam ataupun di mata awam.
Hebat? Kehebatan sebenar hanyalah di sisi Allah. Marilah kita memohon keampunan Allah SWT.

0 ulasan: